BIASANYA
ungkapan 'apa yang naik pasti akan turun' ini digunakan untuk
menerangkan graviti, tetapi ia juga boleh digunakan untuk menggambarkan
kitaran ekonomi. Ekonomi tidak berada di satu garisan lurus, sebaliknya
ia berkembang, merudum ke dalam kemelesetan dan kemudiannya mula pulih
semula yang membawa kepada pengembangan berikutnya. Kitaran ekonomi
dipacu oleh pelbagai faktor seperti kitaran kredit, gelembung aset,
demografi dan penemuan ulung teknologi.
Sebagai
contohnya, ekonomi Malaysia mengalami kemelesetan teruk pada tahun 1998
ekoran krisis kewangan Asia. Setelah pulih pada tahun 1999 dan 2000,
ekonomi Malaysia perlahan semula pada tahun 2001 disebabkan kemerosotan
ekonomi global berikutan penguncupan teknologi yang diterajui oleh
Amerika Syarikat (AS).
Dalam
kemelesetan ekonomi global tahun 2009 baru-baru ini, ekonomi Malaysia
menguncup sebanyak 1.7 peratus kerana eksport dijejaskan oleh penurunan
ekonomi AS dan ekonomi-ekonomi utama lain dalam suasana keadaan kredit
yang ketat dan pasaran kerja yang lemah.
Pada
umumnya, istilah kitaran ekonomi (atau kitaran perniagaan) merujuk
kepada turun naik dalam aktiviti ekonomi di sekitar arah aliran
pertumbuhan jangka panjang, dan secara tipikalnya melibatkan peralihan
di antara tempoh pertumbuhan yang agak pesat (lonjakan atau lambungan)
dan tempoh penurunan relatif (kemerosotan atau kemelesetan).
Kitaran ekonomi yang tipikal mempunyai lima fasa.
1. Pemulihan permulaan
Fasa
pemulihan permulaan, yang biasanya merupakan fasa pendek selama
beberapa bulan, menandakan tempoh apabila ekonomi mula-mula pulih
daripada kemelesetan atau kelembapan. Selalunya terdapat inisiatif
rangsangan kerajaan yang dilaksanakan seperti perbelanjaan rangsangan
dan/atau kadar faedah yang rendah. Keyakinan perniagaan semakin
meningkat dan inventori mula dibina semula. Namun, dengan kadar
pengangguran yang masih lagi tinggi, keyakinan pengguna mungkin masih
rendah.
2. Lonjakan awal
Ini
merupakan fasa yang paling sihat dalam kitaran ekonomi kerana
pertumbuhan boleh jadi teguh tetapi tidak terlalu pesat atau inflasi
tidak lebih tinggi. Fasa ini biasanya berlanjutan selama satu tahun
hingga beberapa tahun asalkan pertumbuhan tidak terlalu pesat dan pada
kadar yang mampan. Dalam tempoh ini, pembinaan semula inventori yang
kita saksikan dalam tempoh pemulihan permulaan membawa kepada aktiviti
pengambilan pekerja yang lebih rancak oleh firma-firma dan oleh sebab
pengupah meningkat, keyakinan pengguna juga meningkat. Ini pula membawa
kepada jualan yang kukuh. Bagi menampung peningkatan permintaan barangan
dan perkhidmatan mereka, perniagaan melabur untuk mengembangkan
keupayaan.
3. Lonjakan lambat
Ekonomi
kini beroperasi pada keupayaan penuh dan menghadapi bahaya akan menjadi
terlalu rancak/pesat. Keyakinan adalah tinggi di kalangan pengguna dan
perniagaan, dan pengangguran adalah pada paras yang sangat rendah.
Inflasi semakin meningkat dan upah bertambah tinggi kerana berlaku
kekurangan tenaga pekerja. Untuk memerangi kenaikan inflasi, bank-bank
pusat menaikkan kadar faedah.
4. Perlahan
Ekonomi
menjadi perlahan, biasanya akibat kadar faedah yang lebih tinggi.
Keyakinan perniagaan mula goyah, dan firma mula mengurangkan inventori
mereka, sekali gus memberi kesan tidak langsung terhadap pengangguran
dan perbelanjaan sektor swasta.
5. Kemelesetan
Kemelesetan
secara konvensionalnya ditakrifkan sebagai pertumbuhan KDNK negatif
selama dua sukuan berturut-turut. Dalam fasa ini, selalunya terdapat
kemerosotan inventori yang besar dan penurunan dalam pelaburan
perniagaan. Pengangguran boleh meningkat dengan cepat, sekali gus
menekan inflasi turun. Perbelanjaan pengguna untuk barang-barang tahan
lama merosot. Dalam kemelesetan teruk, sistem kewangan mungkin tertekan
oleh hutang lapuk, lantas membuatkan bank-bank berhati-hati memberi
pinjaman.
Oleh
sebab setiap fasa kitaran ekonomi melibatkan dinamik yang berbeza -
kadar inflasi, keyakinan pengguna dan perniagaan, kadar penggunaan
keupayaan, kadar pengangguran dan keberuntungan korporat yang
berbeza-beza - maka fasa kitaran ekonomi boleh memberi kesan yang besar
kepada bagaimana sektor ekonomi yang berbeza dan pelbagai bahagian
pasaran modal mencatatkan prestasi. Prestasi unit amanah akan
dipengaruhi sewajarnya, bergantung pada aset dan sektor di mana pelbagai
dana dilaburkan.
Peringatan
"Ramalan adalah sukar, terutama sekali tentang masa depan." - Yogi Berra.
Gambaran
yang diberikan mengenai kitaran ekonomi yang tipikal dan kesannya ke
atas prestasi pasaran mungkin menampakkan bahawa membentuk jangkaan
pasaran dalam jangka pendek dan jangka sederhana adalah agak jelas dan
mudah. Namun begitu, titik perubahan kitaran ekonomi selalunya sukar
diramalkan. Fasa-fasa kitaran ekonomi yang berlainan mungkin
berbeza-beza dari segi tempoh dan amplitudnya. Kemelesetan mungkin teruk
(misalnya, kemelesetan tahun 1930-an dan awal 1980-an) atau ia mungkin
tidak berpanjangan dengan hanya penurunan kecil dalam pengeluaran dan
peningkatan sederhana dalam pengangguran. Pelabur yang berhati-hati juga
perlu ingat bahawa urutan pelbagai fasa kitaran ekonomi adalah tidak
tetap. Fasa tertentu dalam kitaran ekonomi mungkin tidak berlaku dan
fasa sebelumnya juga mungkin terbalik.
Disebabkan
oleh sukarnya menetapkan masa yang sesuai untuk memasuki pasaran secara
tepat, terdapat beberapa peraturan yang boleh memberi faedah kepada
portfolio pelabur dalam jangka panjang, serta mencegah kejadian "melabur
semasa harga tinggi dan keluar semasa harga rendah". Memastikan
pempelbagaian portfolio yang secukupnya dengan melabur dalam unit amanah
misalnya, merupakan salah satu peraturan tersebut, ataupun dikenali
sebagai "tindakan tidak memasukkan semua telur anda di dalam sebuah
bakul".
Melabur
untuk jangka panjang juga merupakan satu lagi peraturan baik yang akan
menolong menghindari jualan panik semasa pasaran jatuh oleh pelabur yang
terpengaruh dengan prestasi jangka pendek pasaran. Pelabur juga boleh
mengguna pakai amalan pemurataan kos ringgit, iaitu membeli jumlah
ringgit tetap unit amanah atau pelaburan lain secara kerap tanpa
menghiraukan harga unit. Dengan kerap melabur dengan jumlah tetap,
pelabur boleh mengambil kesempatan ke atas kejatuhan harga pasaran tanpa
perlu bimbang tentang bila ia akan berlaku.